Kunjungan Hormat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) ke Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Perkukuh Jalinan Kerjasama

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah mengadakan kunjung hormat ke Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebagai platform memperkukuh hubungan strategik serta berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan hal ehwal Islam antara kedua-dua institusi.
 
Delegasi MAINPP diketuai oleh YBhg. Profesor Emeritus Dato' Dr. Haji Abd Aziz bin Tajuddin, Timbalan Yang Dipertua MAINPP bersama Ahli-ahli Majlis, pengurusan tertinggi dan pegawai MAINPP.
 
Ketibaan delegasi MAINPP telah disambut oleh YB Dato' Haji M. Tahrir bin Dato' Haji Shamsuddin, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor, bersama barisan pengurusan MAINJ. Sesi kunjungan dimulakan dengan bacaan doa diikuti ucapan alu-aluan oleh YB Dato' Haji M. Tahrir bin Dato' Haji Shamsuddin sebelum ucapan balas disampaikan oleh YBhg. Profesor Emeritus Dato' Dr. Haji Abd Aziz bin Tajuddin selaku ketua delegasi MAINPP.
 
Sepanjang sesi perkongsian, pihak MAINJ membentangkan pelbagai inisiatif dan amalan pengurusan yang dilaksanakan, meliputi struktur pentadbiran, pengurusan serta pembangunan tanah wakaf, pengurusan dana wakaf, Baitulmal, pendigitalan perkhidmatan dan pembangunan aset wakaf.
 
Sesi soal jawab yang berlangsung turut membuka ruang perbincangan dua hala antara MAINPP dan MAINJ dalam berkongsi pengalaman, cabaran serta pendekatan terbaik ke arah memperkukuh pengurusan institusi agama Islam.
 
Delegasi MAINPP juga berpeluang mengadakan lawatan ke Radio Digital An-Nur dan Inkubator Usahawan MAINJ bagi meninjau inisiatif MAINJ dalam memperkasa penyampaian dakwah melalui platform digital serta memperkukuh pembangunan keusahawanan ummah.
 
Kunjungan ini diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata, sesi bergambar rasmi dan jamuan sebagai simbolik penghargaan serta jalinan ukhuwah yang terus diperkukuhkan antara MAINPP dan MAINJ.
 
Semoga jalinan kerjasama ini terus diperkasa dan menjadi pemangkin kepada usaha mempertingkatkan pengurusan serta pembangunan hal ehwal Islam demi manfaat ummah di kedua-dua negeri.
1 2
3 4
5 6